Kadar Inflasi Terkawal

Malaysia mencatatkan kadar inflasi sebanyak 1.8% pada tahun 2024, penurunan untuk dua tahun berturut-turut sejak 2022. Maklumat ini diumumkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Jadi, apakah faktor utama yang menyumbang kepada penurunan ini? Mari kita lihat lebih lanjut. 

Apa Itu Inflasi?

Inflasi adalah istilah ekonomi yang merujuk kepada kenaikan harga barangan dan perkhidmatan secara umum dalam sesuatu ekonomi. Ia menunjukkan penurunan nilai wang dengan kata lain, kuasa beli anda semakin berkurangan. Contohnya, jika harga kopi RM2.50 tahun lalu dan kini naik ke RM3.00, itu adalah kesan inflasi. 

Adakah inflasi baik atau buruk? Jawapannya bergantung kepada konteks: 

  • Inflasi terkawal (rendah): Bagus kerana ia menunjukkan ekonomi yang stabil dan pertumbuhan yang sihat. 
  • Inflasi tinggi: Tidak baik kerana ia menekan kuasa beli pengguna dan boleh menyebabkan kos hidup melambung. 
  • Inflasi negatif (deflasi): Juga tidak baik kerana ia menunjukkan permintaan barangan dan perkhidmatan yang lemah, memberi isyarat kelembapan ekonomi. 

 

Secara umumnya, inflasi yang rendah dan terkawal seperti yang dicatatkan Malaysia pada 2024 adalah situasi yang ideal. 

Faktor Penurunan Inflasi

1. Kenaikan Perlahan Dalam Beberapa Sektor Utama 

  • Restoran & Penginapan: Inflasi sektor ini mencatatkan kenaikan sederhana sebanyak 3.1%. 
  • Makanan & Minuman: Naik sebanyak 2.0%, memberikan kesan yang terkawal kepada kos harian rakyat. 
  • Kesihatan & Pendidikan: Meningkat masing-masing sebanyak 1.8% dan 1.5%, memudahkan akses kepada perkhidmatan penting. 
  • Pengangkutan: Naik 1.0%, terutamanya disebabkan oleh kos pengurusan peralatan pengangkutan. 
  • Barang Rumah: Kenaikan minimum sebanyak 0.7%, mengekalkan kos keperluan isi rumah pada kadar mampu milik. 

2. Penurunan Dalam Beberapa Sektor 

  • Maklumat & Komunikasi: Inflasi turun sebanyak -5.4%, dengan penurunan ketara dalam subkumpulan perkhidmatan maklumat & komunikasi (-6.4%). 
  • Pakaian & Kasut: Kekal dalam kadar negatif iaitu -0.5%, memberikan peluang kepada pengguna mendapatkan barangan pada harga yang lebih rendah. 

Inflasi Disember 2024

Pada Disember 2024, inflasi Malaysia menyederhana kepada 1.7%, dengan beberapa kategori menunjukkan perubahan ketara: 

  • Makanan & Minuman: Kategori ini meningkat sebanyak 2.7%, didorong oleh kenaikan harga sayur-sayuran akibat cuaca buruk. Contohnya, harga kacang panjang naik 12.7%, kubis (11.7%) dan bendi (11.1%). 
  • Perumahan, Air, Elektrik & Gas: Sektor ini mencatatkan kenaikan 3.2%, mempengaruhi kos sara hidup pengguna. 
  • Pengangkutan: Kekal pada kadar 0.4%. 
  • Minyak Diesel: Kekal pada kadar negatif -15%, dengan purata harga diesel di Semenanjung sebanyak RM2.95 seliter dan RM2.15 di Sabah, Sarawak, serta Labuan. 
  • RON97: Menurun sebanyak -7.5%, dengan purata harga runcit RM3.21 seliter. 

Perbandingan Antara Negeri

Lima negeri mencatatkan kadar inflasi melebihi purata nasional (1.7%): 

  • Pulau Pinang: 2.6% 
  • Pahang: 2.3% 
  • Selangor: 2.0% 
  • Johor: 1.8% 
  • Sarawak: 1.8% 

Selangor mencatatkan kadar inflasi makanan & minuman tertinggi iaitu 4.1%, diikuti oleh Kuala Lumpur (3.1%) dan Johor (3.0%). 

Perbandingan Antarabangsa

Inflasi Malaysia pada Disember 2024 adalah lebih rendah berbanding beberapa negara seperti: 

  • Vietnam & Filipina: 2.9% 
  • Korea Selatan: 1.9% 

Namun, kadar inflasi domestik lebih tinggi berbanding: 

  • Indonesia: 1.6% 
  • Thailand: 1.2% 
  • China: 0.1% 

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, inflasi di Malaysia pada tahun 2024 kekal terkawal dengan kadar yang rendah berbanding banyak negara lain. Walaupun terdapat kenaikan harga dalam beberapa sektor, ia masih dalam kadar sederhana dan tidak membebankan secara keseluruhan. Perancangan kewangan yang bijak akan membantu rakyat menghadapi perubahan ini dengan lebih baik. 

Tags

Share this post: